Wednesday 25 December 2013

Majlis Penyerahan Keputusan PMR 2013


Tarikh 19 Disember 2013 jam 11.00 pagi semestinya menjadi satu kenangan yang manis bagi warga SAM Hulu Langat apabila buat julung kalinya keputusan PMR bagi tahun 2013 telah mencipta satu sejarah baru bagi pencapaian rekod akademik sekolah. Debaran dan kegelisahan para pelajar dan guru-guru yang mengajar tingkatan 3 khususnya tidak dapat dibendung lagi menunggu keputusan yang bakal diumumkan oleh GPK Akademik iaitu Puan Hajah Atifah bt Saleh. Syukur !! Syukur !! Syukur !! Alhamdulillah ke hadrat yang Maha Esa ...Itu sahaja kalimah pertama yang mampu diucapkan bilamana pencapaian tahun ini meningkat kepada 100% lulus dalam 9 matapelajaran yang diambil oleh para pelajar. Ini bermakna GPS sekolah turut mencipta satu rekod baru iaitu 1.39 berbanding 1.45 bagi tahun 2012. Senarai penuh analisa boleh dilihat melalui laman web sekolah. 

Bagi matapelajaran Bahasa Arab PMR turut tidak terlepas menerima tempias kegembiraan ini. Hasil analisa yang dibuat seramai 104 orang pelajar dari jumlah keseluruhan 184 orang telah mendapat A dalam Bahasa Arab berbanding tahun 2012 hanya 94 orang sahaja . GPS bagi tahun 2013 ini ialah 1.71 berbanding 1.81 pada tahun 2012. Syukur Alhamdulillah..Bagi pihak Panitia Bahasa Arab masih belum terlambat rasanya untuk mengucapkan alfu alfu mabruk !! kepada semua anak-anak yang dikasihi iaitu calon-calon PMR 2013 yang telah mengharumkan nama sekolah kita.

Mudahan kecemerlangan ini menjadikan antum sekelian insan yang sentiasa bersyukur dan jangan sekali-kali mendabik dada dengan nikmat yang Allah SWT beri kerana hakikatnya semuanya adalah pinjaman dan ujian dariNya. Bagi yang kurang berjaya janganlah mudah berputus asa dan bersedih kerana ia hanyalah permulaan antum dalam pencarian menuntut ilmu. Teruskan melangkah kehadapan dan tanamkan azam untuk bertekad lebih berusaha untuk peperiksaan seterusnya iaitu SMA & SPM nanti InsyaAllah...

 Berikut adalah analisa Bahasa Arab PMR dari tahun 2005 - 2013


 

Monday 30 September 2013

Bengkel Penataran PBS Tingkatan 3 2014 di Maahad Hamidiah Kajang

Pada 25 - 28 September 2013 ( Rabu - Sabtu ) yang lalu satu bengkel taklimat penataran PBS Tingkatan 3 2014 telah diadakan di Maahad Hamidiah Kajang bagi semua guru-guru Bahasa Arab & Sains daerah Hulu Langat. Bagi SAM Hulu Langat telah diwakili oleh ketua panitia Bahasa Arab bagi mengetahui lebih mendalam tentang pelaksanaan PBS Bahasa Arab Tingkatan 3 2014 yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan dikenali sebagai Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ). 

Bagi matapelajaran Bahasa Arab Tingkatan 3 , bentuk pelaksanaan pentaksiran akan dibuat melalui 3 jenis iaitu :

1) Ujian bertulis & ujian lisan
2) Ujian bertulis
3) Pelbagai Instrumen

Pentaksiran akan dibuat diperingkat sekolah oleh guru-guru Bahasa Arab dan dijangka ujian bertulis  akan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan beserta skema jawapan. 



Penerangan PBS oleh JU Daerah Ustaz Syed Anas dari Maahad Hamidiah Kajang

Penerangan proses kerja dan pelaksanaan PBS Tingkatan 3 2014


Tuesday 24 September 2013

Majlis Penutup Gerak Gempur Bahasa Arab PMR

Alhamdulillah gerak-gempur Bahasa Arab PMR/Jadual Anjal telahpun selesai pada Selasa 24 September 2013 yang lalu. Program yang berlangsung selama 3 minggu ini telah  dikendalikan oleh  2 orang guru Bahasa Arab PMR iaitu Ustazah Hazarina bt Khalid dan Ustazah Nirmala bt Arusman. Penutup program tersebut adalah pertandingan Insya' individu. Para pelajar telah diberikan 20 tajuk  Insya' seminggu sebelum pertandingan dan  hanya 8 tajuk sahaja yang akan dipilih semasa pertandingan berlangsung dalam tempoh 30 minit. Turut diselitkan juga penghargaan kepada para mentor program Guru Muda yang telah berusaha membantu mentee masing-masing sepanjang 3 minggu ini. Kini, terpulang kepada para pelajar untuk mempersiapkan fizikal dan mental menghadapi PMR pada 2 Oktober nanti. Semoga kejayaan menjadi milik antum InsyaAllah..

Perancangan & program yang telah dilaksanakan sepanjang 2013 bagi Bahasa Arab PMR :

1) Menghabiskan silibus sekitar bulan Mei - Jun
2) Kelas Tambahan
3) Kelas Pemulihan
4) Kelas Intensif ( bagi pelajar GALUS )
5) Bengkel Teknik Menjawab Kertas PMR
6) Bengkel Pecutan Akhir Bahasa Arab PMR (Anjuran PPDHL ) - seramai 16 orang pelajar terlibat.
7) Program Gerak-gempur / Jadual Anjal BA
8) Program Guru Muda
9) Mukhayyam Imtiyazi Bahasa Arab PMR ( pada 13-15 September 2013 )




Suasana pertandingan Insya'


Pemberian saguhati penghargaan kepada para mentor

Monday 16 September 2013

Mukhayyam Imtiyazi Bahasa Arab PMR 2013


Pada 13 - 15 September 2013 yang lalu , Panitia Bahasa Arab SAM Hulu Langat telah menganjurkan "Mukhayyam Imtiyazi Bahasa Arab PMR 2013 "  . Seramai 114 orang peserta dikalangan calon PMR 2013 telah melibatkan diri dalam program tersebut. Pihak panitia Bahasa Arab telah menjemput fasilitator dikalangan mahasiswa/wi UIA untuk mengendalikan program tersebut berpandukan modul-modul yng menjurus kepada kertas Bahasa Arab PMR. Alhamdulillah program ini telah pun mencapai objektif yang digariskan iaitu meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dan pembinaan ayat serta beberapa kemahiran yang diaplikasikan dalam bentuk ujian bertulis, permainan dan sebagainya. Semoga calon-calon PMR 2013 mampu mmencipta sejarah bagi madah Bahasa Arab pada tahun ini dengan keputusan yang cemerlang InsyaAllah.

Suasana sebelum slot 'word search'















Bengkel Pecutan Akhir Bahasa Arab PMR Anjuran PPD Hulu Langat


Pada 12 September 2013 yang lalu , satu bengkel pecutan akhir Bahasa Arab PMR bagi sekolah-sekolah daerah Hulu Langat telah diadakan di dewan Az Zamahsyari SAM Hulu Langat. Sebanyak 22 buah sekolah telah menghantar peserta bagi bengkel tersebut yang merupakan sebahagian daripada aktiviti utama dibawah perancangan ketua-ketua panitia Bahasa Arab daerah Hulu Langat. Penceramah jemputan JPS telah mengelolakan program tersebut bermula jam 9 pagi - 4.30 petang . SAM Hulu Langat telah menghantar 16 orang calon PMR 2013 bagi mengikuti program tersebut. Para pelajar terlibat telah didedahkan dengan pelbagai bentuk soalan mengikut bahagian dan dibimbing tentang kaedah menjawab yang tepat mengikut skema pemarkahan. Bengkel ini dilihat sangat berkesan untuk membantu para pelajar di saat-saat akhir menjelangnya peperiksaan kelak.

Tuesday 10 September 2013

Mesyuarat Ketua-Ketua Panitia Bahasa Arab Daerah Hulu Langat

Pada 10 September 2013 ( Selasa ) Mesyuarat Ketua-Ketua Panitia Bahasa Arab Daerah Hulu Langat telah diadakan di Blok E ,PPD Hulu Langat pada jam 2.00 - 4.45 petang yang melibatkan sebanyak 22 buah sekolah. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Pengerusi Ketua-Ketua Panitia Bahasa Arab iaitu pengetua SMAP Kajang dan dihadiri oleh wakil PPDHL Ustaz Mohd Hamsyar bin Mohd Noor. Agenda mesyuarat ialah pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat kali pertama seterusnya pembentangan analisa percubaan Bahasa Arab PMR yang lalu. Bagi SAM Hulu Langat , seramai 83 calon mendapat A dari jumlah keseluruhan 184 calon dan seramai 7 orang calon mendapat gred E dengan GPS 1.88... Semoga Allah SWT limpahkan kekuatan dan kemudahan untuk guru-guru Bahasa Arab dan calon-calon  PMR pada tahun ini untuk berjuang ke arah kecemerlangan..

Program Guru Muda / Mentor Mentee Bahasa Arab PMR


Sebagai salah satu usaha di saat-saat akhir menjelangnya PMR 2013 yang bakal menjelang tiba pada 2 Oktober nanti , Panitia Bahasa Arab telah mengambil beberapa pendekatan intensif terhadap kelompok pelajar-pelajar yang perlu dibimbing disaat-saat akhir iaitu PROGRAM GURU MUDA yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini. Seramai 27 orang mentor dikalangan para pelajar cemerlang telah dipilih untuk membantu serta membimbing rakan-rakan sebaya dalam memahami teknik menjawab kertas Bahasa Arab PMR dengan dipantau oleh guru-guru Bahasa Arab sepanjang program gerak-gempur yang telah bermula dari 2 September - 26 September 2013 . Program ini berjalan sepanjang waktu giliran madah Bahasa Arab dan berterusan pada setiap hari rabu melalui KLINIK LONJAKAN INTENSIF BAHASA ARAB yang diadakan pada sebelah petang jam 3 - 5 petang. Semoga usaha para mentor yang bertungkus-lumus membantu rakan-rakannya akan mendapat ganjaran kejayaan cemerlang di dalam PMR kelak InsyaAllah.

Friday 30 August 2013

Bengkel Teknik Menjawab Kertas Bahasa Arab PMR


Pada 29 Ogos 2013 ( Khamis ) yang lalu Panitia Bahasa Arab telah mengadakan Bengkel Teknik Menjawab Kertas Bahasa Arab PMR kepada semua calon PMR 2013 . Program ini telah diadakan di dewan makan asrama dan dikendalikan oleh penceramah jemputan Ustaz Mohd Husni bin Ramli ,guru cemerlang Bahasa Arab dari SMK Abdul Jalil ,Hulu Langat. Para pelajar telah didedahkan kaedah menjawab dan format pemarkahan sebenar mengikut kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam kertas Bahasa Arab. Alhamdulillah bengkel ini telah berjalan dengan lancar dan para pelajar telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya. Semoga para pelajar akan lebih bermotivasi dan lebih bersedia dengan PMR yang bakal diduduki pada 2 Oktober 2013 nanti. Mudahan pada tahun ini madah Bahasa Arab akan memperolehi sifar RASIB InsyaAllah...

Friday 26 July 2013

Kullu 'Am Wa Antum Bikhair..!!



كلّ عام وأنتم طيبون ...... نتمنّى لكلّ أعمالنا مقبولة . والله سميع عليم .

Dikesempatan kehadiran aidil fitri yang bakal menjelang ini , marilah bersama kita melipatgandakan amalan dan ibadah kita dalam sisa Ramadhan yang bakal berakhir tidak lama lagi. Mudah-mudahan dosa-dosa lalu telah diampunkan dan menjadi hamba Allah yang dilahirkan suci secara fitrahnya pada 1 Syawal nanti.

Dikesempatan ini juga tangan dihulur , maaf dipinta buat semua warga SAM Hulu Langat , warga pendidik seterusnya anak-anak didik yang disayangi. Semoga kalian menjadi mukmin yang soleh dan bertakwa dunia dan akhirat. Ameen.. Walaupun sedang bergembira menyambut kedatangan 1 Syawal nanti, jangan lupa peperiksaan PMR,SMA dan SPM juga semakin hampir. Persiapkanlah fizikal dan mental kalian untuk menghadapi 'imtihanuddunya ' ini. Moga kejayaan menjadi milik antum semua.

Tuesday 9 July 2013

Marhaban Ya Ramadhan !!


Semoga Ramadhan yang datang kali ini adalah yang terbaik buat kita dan amal ibadat kita mendapat keredhaanNya Insya Allah.. Ramadhan Kareem

Friday 5 July 2013

Program Peningkatan Akademik Bahasa Arab


Pada 1 Julai 2013 yang lalu Panitia Bahasa Arab telah mengadakan program peningkatan akademik matapelajaran Bahasa Arab bagi peperiksaan pertengahan tahun yang lalu. Program ini merupakan sebahagian agenda tahunan taqwim akitiviti-aktiviti dibawah Panitia Bahasa Arab yang mensasarkan kepada calon-calon PMR dan SPM 2013. Keputusan mesyuarat yang telah dibuat sebelum ini menetapkan agar pemberian saguhati ini diberikan kepada calon-calon PMR 2013 yang telah mendapat keputusan madah Bahasa Arab 90% ke atas sahaja dan bagi calon SPM 2013 yang mencapai 80% ke atas sahaja. Tujuan program ini diadakan tidak lain dan tidak bukan sebagai salah satu bentuk motivasi dan rangsangan kepada para pelajar untuk lebih gigih berusaha dalam pencapaian akademik dan yang lebih penting dari itu ke arah pembentukan syakhsiah peribadi unggul dan menjadi contoh kepada rakan-rakan sebaya. 

Majlis ini ini telah dikendalikan oleh ketua panitia Bahasa Arab iaitu Ustazah Hazarina bt Khalid dan penyerahan saguhati tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua Puan Siti Zubaidah bt Ahmad dengan diiringi oleh GPK Akademik Puan Atifah bt Saleh. Seramai 17 orang calon PMR 2013 dan 5 orang calon SPM 2013 telah menerima saguhati penghargaan ini.

InsyaAllah program ini akan menjadi titik permulaan bagi majlis-majlis penghargaan bagi peperiksaan seterusnya. Adalah diharapkan para pelajar terus bermotivasi untuk berusaha dengan lebih tekun tanpa jemu dan membuang segala sikap mazmumah yang boleh membantutkan usaha menjadi pelajar cemerlang dunia dan akhirat.

Sunday 23 June 2013

Seminar Teknik Menjawab Bahasa Arab Tinggi SPM

Pada 13 Jun 2013 ( Khamis ) yang lalu Panitia Bahasa Arab telah menganjurkan satu seminar teknik menjawab soalan Bahasa Arab Tinggi bagi calon-calon SPM 2013. Seminar ini telah disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Solahuddin dari Maahad Hamidiah , Kajang. Program ini telah diadakan di surau SAMTEN dari jam 8.10 pg - 10.40 pg . Ia bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar tentang teknik menjawab soalan kertas BAT SPM dan panduan-panduan pemarkahan yang tepat. Diharapkan calon-calon SPM 2013 ini mampu mencipta sejarah lulus 100% bagi madah ini. Amiinn.

semasa sesi penerangan



Saturday 15 June 2013

Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah (MISS) Kali Ke3 Peringkat Zon, Negeri Selangor

Pada 12 Jun 2013 (Rabu) satu  program tahunan anjuran BPI,KPM iaitu Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah (MISS) Kali Ke3 Peringkat Zon telah diadakan di SMAP Kajang. Tema pada tahun ini ialah "Al Quran Penjana Wasatiah Ummah". Alhamdulillah  , SAMTEN juga tidak tidak terkecuali menghantar wakil-wakil sekolah untuk turut bertanding dan lebih membanggakan sebahagian daripada wakil-wakil tersebut telah terpilih untuk mara ke perinngkat negeri pada 15 Jun 2013 di SBPI Rawang nanti.

Guru-guru yang telah dilantik sebagai hakim-hakim pertandingan mewakili SAMTEN ialah :

1) Ustaz Dzailqamar b Hasan - Acara Kuiz Bahasa Arab ( Men. Atas )
2) Ustazah Hazarina bt Khalid - Acara Kuiz Bahasa Arab ( Men. Rendah )
3) Ustazah Azarina bt Karim - Acara Kalimatus Sobah ( Men. Atas )
4) Ustazah Siti Munyra AlHaj Md Zyadi - Acara Kuiz Ilmu Wahyu ( Men.Rendah )

Berikut adalah senarai nama wakil sekolah yang telah memenangi pertandingan dan bakal mara ke peringkat negeri nanti :

Acara Kuiz Bahasa Arab ( Men. Atas ) - JOHAN

1) Aiman Mukhlis b Nor Haridan
2) Muhd  Zainuddin b  Arriafdi 
3) Muhd Nurfathi b Abdul Hamid

Acara Kuiz Bahasa Arab ( Men. Rendah ) - NAIB JOHAN

1) Saifuddin Nur Akmal b Sohaimi
2)  Muhd Hasif  b  Abdul Malek
3) Nurul Farhana bt Rozanif


Acara Kalimatus Sobah ( Men. Atas ) - NAIB JOHAN

Nurul Liyana bt Abdul Ghafarr

Acara Qira'atus Sab'ah ( Men. Rendah ) - JOHAN

Nadhrah bt Ahmad Marzuki


Barisan jemaah hakim yang terlibat
Suasana saringan pertama kuiz BA Men Rendah yang melibatkan 21 buah sekolah..
Saringan terakhir  penentu johan dan naib johan yang hanya melibatkan 10 buah sekolah sahaja

Monday 27 May 2013

الدورة المكثفة في احترافية مدرسيّ اللغة العربية

Pada 23 Mei 2013 (Khamis ) bertempat di dewan seminar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , Sektor Pendidikan Islam (JPS) telah menganjurkan kursus peningkatan profesionalisme guru-guru Bahasa Arab peringkat negeri Selangor Tahun 2013M/1434H. Semua ketua panitia dari seluruh sekolah di negeri Selangor SMK/SMKA/SABK telah dijemput menghadiri program yang sangat bermanfaat dan berkesan ini. 

Inilah kursus yang paling menarik antara kursus-kursus yang pernah dihadiri sebelum ini. Walaupun pada mulanya (semasa mendapat surat jemputan) berat untuk menghadirinya memandangkan ia adalah hari terakhir persekolahan namun akhirnya kita perlu akur sesuatu perkara bahawa "tak semua yang kita suka adalah yang terbaik untuk kita ,boleh jadi yang kita tidak suka itulah yang terbaik untuk kita " .

Dalam pada itu turut diumumkan kedudukan madah Bahasa Arab bagi peperiksaan PMR & SPM 2012:

PMR - Negeri Selangor menduduki tempat pertama diperingkat KEBANGSAAN bagi 5 tahun berturut-turut.

SPM - Negeri Selangor menduduki tempat kedua diperingkat KEBANGSAAN bagi tahun 2012.

الف مبروك عليكم جميعا....


Banyak pengisian dan pendedahan serta suntikan semangat serta jalan penyelesaian yang diberikan berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh guru-guru Bahasa Arab di sekolah masing-masing. Antara yang sempat di catat oleh admin ialah :

 المشكلات العامة التى يعاني منها مدرسو اللغة العربية
- ازدحام الفصول بالطلاب واختلاف مستوى الطلاب اللغوي في الصف الواحد بسبب كثرة الفروق الفردية بين الطلاب
- بعض الطلاب لا يشاركون في الأنشظة التعليمية بسبب وجود اتجاهات سلبيّة نحو اللغة العربية من بعض الطلاب .
- ضعف دافعية الطلاب نحو تعلم اللغة العربية بسبب عدم توفير الوسائل التعليمية الكافية وعدم وجود كتب ومواد تعليمية
- عدم استحضار اجابة الطلاب عند توجيحها

من اين حصلتْ هذه المشكلة ؟
-ان يكون المدرس قدوة صالحة للطلاب
- ان يستفيد المدرس من تقنية المعلومات والاتصالات في تحضير المواد التعليمية والأنشطة اللغوية لابداع والابتكار في ايصال المعلومات الى الطلاب بطريقة جديدة.
- تقديم الدروس بطريقة ممتعة وشيّقة ومثيرة لاهتمام الطلبة مما له الأثر الواضح في  فهم هذه الدروس وترسيخها في أذهانهم اضافة الى التعلم الذاتي .
وغير ذلك...........

Pengendali Majlis Ustaz Abas bin Tambah ( salah seorang syeikhuna di Univ Al Azhar dahulu ) . Sedang membacakan senarai nama sekolah yang bakal dipantau bagi madah Bahasa Arab PMR/SPM selepas buka sekolah Jun nanti. Alhamdulillah SAMTEN tak termasuk dalam senarai itu :)...


Bentuk-bentuk lu'bah lughawiyah yang boleh digunakan di sekolah. Penerangan oleh Ustaz Basha  yang fasih berbahasa Arab dan seorang pakar IT..Harap dapat menjejaki personaliti seperti beliau..

Inilah penceramah hebat yang dimaksudkan iaitu Al Fadhil Ustaz Didek Fabrian dari Pondok Modern Gontor Indonesia.  Bertutur 100% Bahasa Arab yang sangat mudah difahami


Kesimpulannya, program ini perlu diberi 5 bintang dari sudut pengisiannya dan pengurusannya juga. Harap boleh diadakan untuk siri yang kedua untuk akan datang.


Monday 13 May 2013

حفلة بمناسبة عيد المعلمين........ شكرا يا معلم



Tema Hari Guru 2013 : GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA

Selamat Hari Guru buat warga pendidik SAM Hulu Langat khususnya buat rakan-rakan seperjuangan guru-guru Bahasa Arab . Semoga kita sentiasa berusaha menjadi guru yang hebat dari segi qudwah dan mau'idzah dalam usaha melahirkan generasi ummah yang berilmu, beriman dan beramal soleh. سيروا على بركة الله

Ramai murid kini yang telah mula menyayangi guru-gurunya bahkan menjadikan guru-gurunya tempat bermanja seperti ibubapa mereka. Tetapi dalam masa yang sama juga mereka lupa tentang adab-adab mereka pabila berhadapan dengan guru-guru mereka. Disebabkan terlalu seronok berdamping dengan guru sehinggakan lupa untuk menjaga hati guru kita. Seeloknya berusaha untuk tidak mengecilkan hati guru-guru anda ,takut keberkatan ilmu itu akan hilang nanti tanpa disedari.

Jadi, apa kata kita koreksi semula adab-adab dengan guru yang perlu kita fahami semula. Jangan kerana terlalu 'sayang' sampai kita lupa adab-adab ketika bersamanya. Adab-adab itu adalah :

  •  Memulakan salam apabila bertemu dengan guru.
  • Jangan memperbanyakan percakapan bila bersama guru. Maksudnya guru tanya 2 patah perkataan ,murid jawab berpuluh-puluh patah perkataan dengan niat untuk 'bergurau yang berlebihan'..
  • Jangan bercakap-cakap sebelum guru bertanya kepadanya.
  • Jangan bertanya kepada guru sebelum meminta izin darinya.
  • Jangan ia menyangkal (menunjukkan rasa tidak puashati) terhadap apa jua perkataan gurunya.
  • Jangan ia mengisyaratkan kepada gurunya dengan menyalahi pendapatnya dengan menyangka bahawa dia lebih mengetahui dari gurunya. ( ada sesetengah pelajar suka menunjuk sesuatu perkara yang dia tahu tetapi guru tidak tahu dengan cara yang kurang beradab )
  • Jangan berbisik dengan kawan yang duduk berdekatannya sedangkan guru ada disebelahnya.
  • Jangan memperbanyakkan soalan ketika guru sedang letih ( guru pun manusia biasa )
  • Apabila guru berdiri , maka dia juga hendaklah berdiri untuk menghormatinya ( terutama apabila guru sedang menyoal dalam kelas. Lakukanlah tanpa disuruh )
  • Jangan jahat sangka terhadap guru pabila melihat gurunya mengerjakan sesuatu pekerjaan yang pada zahirnya menyalahi ilmunya (bukan menyalahi agama) maka gururnya itu lebih mengetahui akan dengan rahsia perbuatannya sebagaimana kisah Nabi Musa as dan Nabi Khidir as.
Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada semua. Sayangilah guru anda sepertimana anda menyayangi ibubapa anda sendiri. Bercakap sesuatu kepada guru biarlah berlapik dan tidak menjadikan guru-guru seperti kawan-kawan sendiri. Walaupun guru-guru ini nampaknya mesra dan tersenyum dengan sesetengah perkara , namun kita tidak mengetahui apa yang sedang dirasainya ketika itu. Guru mempunyai akhlak yang mulia dan seboleh mungkin tidak menghampakan harapan dan permintaan murid-muridnya sekalipun dirinya sendiri berhadapan dengan pelbagai kesulitan hidup. Tapi pabila dia telah tunaikan janganlah murid-murid mengambil kesempatan. Ingatlah!! Keredhaan guru sangat penting untuk memudahkan murid mendapatkan ilmu dari gurunya..نحن نحبّكم جميعا في الدنيا والآخرة ان شاء الله.....الله غايتنا....الرسول قدوتنا..

Sahabat guru seperjuangan , bidang yang kita pilih ini penuh berliku , sentiasa diuji dalaman dan luaran. Kerapkali diasak dengan pelbagai mehnah tanpa diduga . Namun , hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui apa yang kita impikan dan harapkan kepada para pelajar kita sekalipun mereka tetap tidak memahami hingga akhirnya. 

Friday 26 April 2013

Majlis Perasmian Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor


Pada 22 April 2013 yang lalu satu majlis perasmian Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor telah diadakan di Pusat Pendidikan JAIS (PSPJ) Jln Bukit Jati ,Kg Jawa Klang. Pihak Bahagian Pendidikan Islam, JAIS telah berbesar hati menjemput tuan pengetua Puan Siti Zubaidah bt Ahmad dan ketua panitia Bahasa Arab iaitu Ustzh Hazarina bt Khalid untuk menghadiri majlis perasmian tersebut. Majlis dimulakan dengan ketibaan para dif kehormat dan perasmi makmal bahasa arab iaitu  Y.A.D Dato Setia Haji Mohamad Adzib bin Isa (Pengerusi MAIS). Majlis diteruskan lagi dengan persembahan tayangan montaj ,persembahan bahasa berirama,pidato dan hiwar oleh pelajar-pelajar MITST. Seterusnya para delegasi dibawa melawat Makmal Pusat Bahasa bagi melihat kemudahan-kemudahan ICT dimana setiap komputer tersebut telah dilengkapi dengan perisian 'Language Lab Management System ( Relan Pro), perisian PdP Bahasa Arab ( Tell Me More ) dan program-program sampingan yang disediakan untuk kemudahan para pelajar. Para pelawat juga berpeluang mencuba bahan bantu mengajar tersebut disamping melihat sendiri pdp yang sedang dijalankan oleh tenaga pakar guru-guru Bahasa Arab dari luar negara.Majlis telah berakhir pada jam 1 petang dan dihidangkan dengan santapan 'Nasi Arab' yang sungguh menyelerakan.

"Syoknya Berbahasa Arab "


Pada 13 April 2013 bertempat di surau SAM Hulu Langat , Panitia Bahasa Arab dengan kerjasama Biro Pendidikan Asrama telah menganjurkan program tersebut. Pada tarikh itu telah berlangsung juga Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2012. Memandangkan minggu tersebut adalah minggu pelajar asrama tidak balik kampung , maka pihak panitia telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program tersebut. Pengendali program yang telah dijemput ialah Ustaz Azlan. Program santai berbentuk 'lu'bah lughawiah
' ini bertujuan memberi motivasi kepada pelajar untuk menyayangi bahasa Al-Quran dengan kaedah santai dan menyeronokkan.





Tuesday 9 April 2013

Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2012


Kira-kira seramai 143 orang calon pelajar SPM SAM Hulu Langat 2012 telah berusaha bagi menghadapi peperiksaan SPM yang telah bermula pada 5-11-2012 sehingga 6-12-2012. Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu, hari yang dinanti nanti, pada 21-3-2013 bersamaan hari Khamis, majlis penyerahan keputusan SPM diadakan di dewan SAM Hulu Langat. Majlis dimulakan dengan menunggu kehadiran calon-calon SPM 2012 kira-kira dalam pukul 10.30 pagi dan diikuti ucapan daripada puan pengetua SAM Hulu Langat pada jam 11.30 pagi. Kira-kira jam 11.45 pagi, keputusan rasmi diumumkan. Alhamdulillah dengan berkat tunjuk ajar para guru serta hasil usaha para pelajar, calon-calon SPM 2012 berjaya merangkul kecemerlangan. Alhamdulillah seramai 5 orang pelajar berjaya mendapat 11A. Kami warga SAM Hulu Langat mengucapkan tahniah kepada para pelajar SPM 2012 kerana berjaya dengan cemerlang, tidak dilupakan juga para ibu bapa serta guru-guru yang banyak membantu.

Alhamdulillah subjek Bahasa Arab Tinggi telah menunjukkan peningkatan GPMP 0.66 ( 2011 : 4.33 ~ 2012 : 3.67 ) dan hanya 2 orang sahaja pelajar yang gagal daripada seramai 143 orang calon yang mengambil kertas ini. Seramai 44 orang calon mendapat pangkat A berbanding 37 orang pada tahun 2011. 

Semoga pada tahun ini , calon SPM 2013 akan lebih menyerlah dan peratusan yang mendapat A akan meningkat InsyaAllah terutama dalam madah Bahasa Arab. Matlamat guru-guru Bahasa Arab adalah sifar RASIB !! ..


Mukhayyam 'Aroby oleh IKPM Darus Salam Gontor



Pada 15 - 17 Mac 2013 yang lalu , Panitia Bahasa Arab dengan kerjasama PIBG SAM Hulu Langat telah menganjurkan Program Mukhayyam 'Aroby yang telah dikelolakan sepenuhnya oleh IKPM Darus Salam Gontor , Indonesia. Pihak panitia telah menberi amanah kepada alumni Gontor ini untuk melaksanakan satu program cintai Bahasa Arab khusus untuk para pelajar tingkatan 2. Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya ta'lim jamaie , qasidah, nasyid 'araby, muhadasah asasiyah , riadah dan pelbagai lagi. Program ini dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan dan para pelajar telah dapat menguasai sedikit-sebanyak kemahiran melalui pendekatan yang telah dilakukan.




Tuesday 5 March 2013

Jangan Salah Memilih SAHABAT..



5 cara memilih sahabat:


NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan Al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya) .

Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu. 

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Semoga bermanfaat..

Monday 25 February 2013

Minggu Bahasa


Pada 18 - 22 Februari 2013 yang lalu satu program Minggu Bahasa ( MBMMBIMBA ) telah diadakan yang merupakan gabungan tiga panitia sekolah iaitu Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris dan Panitia Bahasa Arab dengan kerjasama persatuan masing-masing. Objektif program ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat para pelajar melalui 3 bahasa berdasarkan minat masing-masing. Persatuan Bahasa   Arab dibawah teraju guru-gurunya penasihatnya yang diketuai oleh Ustazah Nur Atikah , Ustazah Sumaiya dan Ustazah Siti Munyra AlHaj bersama ahli jawatankuasa pelajar turut tidak terkecuali menganjurkan 4 pertandingan iaitu kemahiran mendengar, teka silangkata, karikatur dan kuiz Bahasa Arab. Penyertaan para pelajar dilihat sangat menggalakkan. Sekalipun senarai nama pemenang belum diisytiharkan namun pihak panitia mengucapkan 'alfu mabruk' kepada semua pemenang yang telah bertanding. HAYYA BIL 'ARABIAH..

Thursday 14 February 2013

Hari Bahasa Arab



 
 Bermula tahun 2013 ini satu pembaharuan telah dilakukan dalam memperkasakan lagi pemantapan Bahasa Arab dikalangan para pelajar iaitu pihak sekolah telah menetapkan bahawa setiap hari Khamis merupakan HARI BAHASA ARAB kepada semua warganya. Panitia Bahasa Arab telah diberikan amanah untuk mewujudkan satu perancangan yang perlu diadakan pada setiap hari Khamis. Antara inisiatif yang diambil adalah ucapan dalam perhimpunan pagi hari khamis dalam Bahasa Arab dan persembahan pelajar semasa waktu rehat . Giliran ini akan dilakukan mengikut kelas-kelas tertentu dan beberapa pelajar akan dilantik membuat persembahan. Perancangan ini mendapat kerjasama bersama dengan Persatuan Bahasa Arab SAM Hulu Langat. Adalah diharapkan agar pendekatan sebegini dapat menyuntik semangat para pelajar untuk tampil berkomunikasi di dalam Bahasa Arab selain melalui PdP di dalam kelas bersama guru-guru.

Wednesday 13 February 2013

Majlis Penyerahan Keputusan PMR 2012


Pada tanggal 19 Disember 2012 yang lalu satu majlis penyerahan slip peperiksaan PMR 2012 telah diadakan di Dewan Az- Zamahsyari. Kehadiran para pelajar bersama ibubapa masing-masing penuh debaran demi menunggu detik keputusan PMR yang akan diumumkan pada jam 10 pagi. Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah para pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Pihak sekolah juga termasuk guru-guru matapelajaran turut berasa bangga dan gembira dengan pencapaian prestasi anak -anak murid mereka. Pada tahun ini GPS adalah 1.45 ( 97.42% ) dengan peningkatan sebanyak 0.04% berbanding tahun lepas. SAM Hulu Langat menduduki tempat ke 16 daripada 246 buah sekolah di seluruh negeri Selangor dan mendapat kedudukan tempat ketiga bagi sekolah-sekolah SABK Selangor. Bagi peringkat daerah Hulu Langat pula berada di kedudukan yang keempat. Seramai 32 orang calon PMR 2012 telah mendapat 9A . MABRUK !! kepada yang telah berjaya dengan cemerlang dan bagi yang kurang berjaya , usah berputus asa dan diharap akan meneruskan perjuangan menuntut ilmu dalam peperiksaan yang seterusnya.

* Bagi matapelajaran Bahasa Arab peratus GPS ialah  1.811% berbanding tahun 2011 iaitu  2.61%
















Program Anugerah Akademik 2013


Pada 14 Januari 2013 yang lalu Panitia Bahasa Arab telah mengadakan program penganugerahan sijil kecemerlangan akademik kepada calon-calon PMR 2012 yang telah mendapat gred A bagi matapelajaran Bahasa Arab dalam PMR 2012 yang lalu. Seramai 94 orang calon PMR 2012 telah mendapat gred A sekaligus meningkatkan peratus GPS bagi matapelajaran tersebut kepada 1.81 berbanding tahun 2011 iaitu 2.61. Sehubungan itu penganugerahan sijil kecemerlangan akademik kepada 16 orang pelajar telah dimeterai oleh Tuan Pengetua atas kecemerlangan mereka dalam matapelajaran tersebut yang mana mereka ini dahulunya mendapat gred C,D dan E semasa peperiksaan percubaan PMR namun mencapai kecemerlangan semasa peperiksaan sebenar. Semoga program sebegini dapat menyuntik semangat calon-calon PMR 2013 untuk terus mencipta kecemerlangan bagi tahun terakhir PMR ini InsyaAllah.

Mukhayyam Imtiyazi Bahasa Arab PMR 2012


Sekitar aktiviti program Siri 1


Sekitar aktiviti program Siri 2


Panitia Bahasa Arab telah mengadakan Kem Kecemerlangan Bahasa Arab khusus kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 yang bakal menduduki kertas Bahasa Arab PMR tahun 2012 ini. Kem tersebut telah diadakan sebanyak 2 siri iaitu siri 1 pada 14 - 16 September diikuti siri 2 pada minggu berikutnya 21 - 23 September 2012 bertempat di SAM Hulu Langat. Barisan fasilitator yang dijemput untuk mengendalikan kem tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar jurusan Bahasa Arab dari KUIS. Pelbagai aktiviti telah diadakan menjurus kepada latihtubi,bimbingan dan permainan berdasarkan format kertas Bahasa Arab PMR. Ceramah motivasi juga telah diselitkan sepanjang dua siri tersebut iaitu dengan menjemput Ustaz Mohd Saudi bin Abdullah bagi siri 1 dan Ustaz Ahmad Zamri bin Samsuddin bagi siri 2. Secara keseluruhan program tersebut telah mencapai objektif yang dikehendaki oleh guru-guru Bahasa Arab PMR melihat kepada kehadiran pelajar-pelajar tingkatan 3 yang sangat membanggakan dan keberkesanan yang terhasil selepas program tersebut melalui gerak-gempur Bahasa Arab yang dijalankan selepas itu. Kini, terpulang kepada para pelajar untuk meningkatkan usaha dan memperbanyakkan lagi latihan di saat-saat akhir menjelangnya peperiksaan sebenar nanti . "QULU NA'AM LIL IMTIYAZ "