Monday 25 February 2013

Minggu Bahasa


Pada 18 - 22 Februari 2013 yang lalu satu program Minggu Bahasa ( MBMMBIMBA ) telah diadakan yang merupakan gabungan tiga panitia sekolah iaitu Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris dan Panitia Bahasa Arab dengan kerjasama persatuan masing-masing. Objektif program ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat para pelajar melalui 3 bahasa berdasarkan minat masing-masing. Persatuan Bahasa   Arab dibawah teraju guru-gurunya penasihatnya yang diketuai oleh Ustazah Nur Atikah , Ustazah Sumaiya dan Ustazah Siti Munyra AlHaj bersama ahli jawatankuasa pelajar turut tidak terkecuali menganjurkan 4 pertandingan iaitu kemahiran mendengar, teka silangkata, karikatur dan kuiz Bahasa Arab. Penyertaan para pelajar dilihat sangat menggalakkan. Sekalipun senarai nama pemenang belum diisytiharkan namun pihak panitia mengucapkan 'alfu mabruk' kepada semua pemenang yang telah bertanding. HAYYA BIL 'ARABIAH..

Thursday 14 February 2013

Hari Bahasa Arab



 
 Bermula tahun 2013 ini satu pembaharuan telah dilakukan dalam memperkasakan lagi pemantapan Bahasa Arab dikalangan para pelajar iaitu pihak sekolah telah menetapkan bahawa setiap hari Khamis merupakan HARI BAHASA ARAB kepada semua warganya. Panitia Bahasa Arab telah diberikan amanah untuk mewujudkan satu perancangan yang perlu diadakan pada setiap hari Khamis. Antara inisiatif yang diambil adalah ucapan dalam perhimpunan pagi hari khamis dalam Bahasa Arab dan persembahan pelajar semasa waktu rehat . Giliran ini akan dilakukan mengikut kelas-kelas tertentu dan beberapa pelajar akan dilantik membuat persembahan. Perancangan ini mendapat kerjasama bersama dengan Persatuan Bahasa Arab SAM Hulu Langat. Adalah diharapkan agar pendekatan sebegini dapat menyuntik semangat para pelajar untuk tampil berkomunikasi di dalam Bahasa Arab selain melalui PdP di dalam kelas bersama guru-guru.

Wednesday 13 February 2013

Majlis Penyerahan Keputusan PMR 2012


Pada tanggal 19 Disember 2012 yang lalu satu majlis penyerahan slip peperiksaan PMR 2012 telah diadakan di Dewan Az- Zamahsyari. Kehadiran para pelajar bersama ibubapa masing-masing penuh debaran demi menunggu detik keputusan PMR yang akan diumumkan pada jam 10 pagi. Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah para pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Pihak sekolah juga termasuk guru-guru matapelajaran turut berasa bangga dan gembira dengan pencapaian prestasi anak -anak murid mereka. Pada tahun ini GPS adalah 1.45 ( 97.42% ) dengan peningkatan sebanyak 0.04% berbanding tahun lepas. SAM Hulu Langat menduduki tempat ke 16 daripada 246 buah sekolah di seluruh negeri Selangor dan mendapat kedudukan tempat ketiga bagi sekolah-sekolah SABK Selangor. Bagi peringkat daerah Hulu Langat pula berada di kedudukan yang keempat. Seramai 32 orang calon PMR 2012 telah mendapat 9A . MABRUK !! kepada yang telah berjaya dengan cemerlang dan bagi yang kurang berjaya , usah berputus asa dan diharap akan meneruskan perjuangan menuntut ilmu dalam peperiksaan yang seterusnya.

* Bagi matapelajaran Bahasa Arab peratus GPS ialah  1.811% berbanding tahun 2011 iaitu  2.61%
















Program Anugerah Akademik 2013


Pada 14 Januari 2013 yang lalu Panitia Bahasa Arab telah mengadakan program penganugerahan sijil kecemerlangan akademik kepada calon-calon PMR 2012 yang telah mendapat gred A bagi matapelajaran Bahasa Arab dalam PMR 2012 yang lalu. Seramai 94 orang calon PMR 2012 telah mendapat gred A sekaligus meningkatkan peratus GPS bagi matapelajaran tersebut kepada 1.81 berbanding tahun 2011 iaitu 2.61. Sehubungan itu penganugerahan sijil kecemerlangan akademik kepada 16 orang pelajar telah dimeterai oleh Tuan Pengetua atas kecemerlangan mereka dalam matapelajaran tersebut yang mana mereka ini dahulunya mendapat gred C,D dan E semasa peperiksaan percubaan PMR namun mencapai kecemerlangan semasa peperiksaan sebenar. Semoga program sebegini dapat menyuntik semangat calon-calon PMR 2013 untuk terus mencipta kecemerlangan bagi tahun terakhir PMR ini InsyaAllah.

Mukhayyam Imtiyazi Bahasa Arab PMR 2012


Sekitar aktiviti program Siri 1


Sekitar aktiviti program Siri 2


Panitia Bahasa Arab telah mengadakan Kem Kecemerlangan Bahasa Arab khusus kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 yang bakal menduduki kertas Bahasa Arab PMR tahun 2012 ini. Kem tersebut telah diadakan sebanyak 2 siri iaitu siri 1 pada 14 - 16 September diikuti siri 2 pada minggu berikutnya 21 - 23 September 2012 bertempat di SAM Hulu Langat. Barisan fasilitator yang dijemput untuk mengendalikan kem tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar jurusan Bahasa Arab dari KUIS. Pelbagai aktiviti telah diadakan menjurus kepada latihtubi,bimbingan dan permainan berdasarkan format kertas Bahasa Arab PMR. Ceramah motivasi juga telah diselitkan sepanjang dua siri tersebut iaitu dengan menjemput Ustaz Mohd Saudi bin Abdullah bagi siri 1 dan Ustaz Ahmad Zamri bin Samsuddin bagi siri 2. Secara keseluruhan program tersebut telah mencapai objektif yang dikehendaki oleh guru-guru Bahasa Arab PMR melihat kepada kehadiran pelajar-pelajar tingkatan 3 yang sangat membanggakan dan keberkesanan yang terhasil selepas program tersebut melalui gerak-gempur Bahasa Arab yang dijalankan selepas itu. Kini, terpulang kepada para pelajar untuk meningkatkan usaha dan memperbanyakkan lagi latihan di saat-saat akhir menjelangnya peperiksaan sebenar nanti . "QULU NA'AM LIL IMTIYAZ "

Hamlah Jiilul Qurani Anjuran Bersama Panitia Bahasa Arab & Persatuan Bahasa Arab







Gambar-gambar sekitar pertandingan berlangsung


Pada tarikh 4 & 5 April 2012 yang lalu,Persatuan Bahasa Arab dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Islam,Kelab Khat,Kelab Tahfiz dan Kelab Webmaster & Redaksi telah menganjurkan Program Hamlah Jiilul Qurani. Program ini merupakan program gabungan bersepadu antara 5 persatuan di bawah tema yang sama bagi mencungkil bakat para pelajar samada dalam media cetak mahupun media massa.Setiap persatuan telah menganjurkan program masing-masing selama dua hari berturut-turut yang dibuka kepada semua pelajar SAM Hulu Langat. Program penutup simbolik memecahkan bongkah ais yang berisi keputusan pemenang telah disempurnakan oleh Ustaz Anuar bin Ahmad selaku GPK Kokurikulum . Para peserta telah menerima hadiah masing-masing dan sijil penyertaan. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan diharap akan dapat diteruskan lagi di masa akan datang dengan acara-acara yang lebih menarik dan mencabar.