Madrasati


   

Sekolah Agama Menengah Hulu Langat yang lebih dikenali sebagai SAMTEN dibuka pada 1 Januari 1983 dengan menumpang di Sekolah Rendah Agama Batu 10 selama setahun. Penubuhan sekolah ini adalah di atas permintaan ibu bapa di sekitar kawasan Cheras yang menginginkan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dalam bidang agama. Pengambilan pelajar hanya 70 orang sahaja iaitu 2 kelas tingkatan 1 kerana bilangan kelas terhad serta tenaga pengajar yang terdiri daripada hanya 4 orang guru sahaja iaitu Ustaz Abd Manaf b Rofaie , Ustazah Jamaliah bt Mustapha , Cikgu Joseph dan Cikgu Siti Zubiadah bt Abu Suhot.


Pada tahun 1984, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat telah berpindah ke Sekolah Rendah Agama Batu 9 kerana pertambahan pelajar yang meningkat walaupun dalam keadaan yang masih kurang selesa untuk pengajaran dan pembelajaran disebabkan keadaan persekitaran yang bising dan sibuk.


Berdasarkan sambutan yang diberikan oleh masyarakat dan ketiadaan sekolah agama peringkat menengah di daerah ini, kerajaan Negeri Selangor melalui melalui Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) telah mempercepatkan pembinaan sekolah dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Kerja pembinaan bermula pada tahun 1986 dengan pembinaan 2 blok bangunan sekolah ,dewan dan asrama di tapak berbukit dengan lanskap yang menarik. Kerja-kerja pembinaan siap pada tahun 1991 setelah tergendala selama beberapa tahun. Peringkat awal pentadbiran sekolah adalah di bawah pentadbiran ahli Lembaga Pengelola Sekolah iaitu di bawah kelolaan Ustaz Abd Manaf b Rofaie. Logo dan lencana sekolah telah direka atas inisiatif seorang guru berilhamkan idea negeri Selangor.


Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ) bermula pada tahun 1985 dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) menyusul 2 tahun kemudian iaitu pada tahun 1987 . Pada peringkat awal, sekolah ini tidak memberi saingan yang kuat kepada sekolah-sekolah lain di daerah ini tetapi pencapaiannya semakin meningkat dari tahun ke tahun dan bilangan pelajar juga semakin bertambah.


Hari ini , dengan kepadatan jumlah pelajar hampir 900 orang bersama barisan tenaga pendidik berjumlah 60 orang , SAM Hulu langat terus melangkah ke hadapan memacu dan mengungguli kecemerlangan demi kecemerlangan hingga ke peringkat kebangsaan samada dalam bidang kurikulum dan kokurikulum sehingga tersenarai sebagai 5 buah sekolah terbaik JAIS dalam negeri Selangor daripada 25 buah sekolah yang lain.

KEISTIMEWAAN BANGUNAN


Reka bentuk pelan

Sekolah ini mempunyai reka bentuk pelan yang menarik dan sistematik. Bangunan utama sekolah ini ialah Dewan Az-Zamakhsyari. Kelas-kelas yang terletak di Blok A dan Blok B terletak berhampiran dengan dewan. Dewan pula terletak di sebelah kantin. Ini memudahkan pelajar untuk membeli makanan dan minuman di kantin dengan lebih cepat. Asrama Putera terletak bersebelahan dengan asrama puteri. Dewan Makan Asrama pula terletak di antara dua bangunan tersebut. Ini memudahkan pelajar pulang ke asrama dengan lebih cepat selepas makan di dewan makan.


Bahan binaan & Pengubahsuaian


Bahan yang digunakan untuk membina sekolah ini ialah simen, pasir, batu-bata dan sebagainya. Banyak pengubahsuaian yang telah dilakukan. Antaranya ialah pembinaan makmal KHB dan tempat rehat pelajar pada tahun 2001. Pada tahun 2008, kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang untuk memperbaiki infrastruktur sekolah seperti mengecat bangunan sekolah semula, menggantikan pintu bagi semua kelas, menceriakan kawasan sekolah dan sebagainya.


Hiasan Dalaman

Tatar atur hiasan dalaman diberi tumpuan agar mencerminkan budaya keilmuan dan suasana segar serta kondusif kepada pelajar melalui tanaman dan hiasan yang menghijau, barisan pokok-pokok yang berjajar sepanjang laluan masuk dan pokok-pokok bunga hiasan yang cantik dan menarik. Usaha menghias dan menyediakan hiasan sekolah adalah sebahagian daripada tugas 3k yang diterapkan dalam gerak kerja dan budaya sekolah. Sejak tahun 1997, dengan kerjasama PIBG, sedikit demi sedikit mercu tanda dibangunkan untuk memenuhi ruang-ruang kosong agar dapat dimanfaatkan oleh pelajar untuk kegiatan belajar, riadah dan merehatkan minda. Keindahan dan kebersihan adalah tonggak penting dalam pengurusan sekolah berkesan. Hal ini juga, memberikan petanda kepada pelawat dan pengunjung sekolah tentang pengurusan sekolah yang cekap dan keperibadian seluruh warga sekolah.


Kegunaan Dahulu & Sekarang


Dahulunya, dataran sekolah digunakan untuk berhimpun pada perhimpunan pada hari Jumaat. Kini, dataran itu digantikan dengan gelanngang sepak takraw. Selain itu, Dewan Az-Zamakhsyari juga digunakan sebagai gelanggang badminton tetapi kini dewan tersebut digunakan untuk perhimpunan pada hari Jumaat.

No comments:

Post a Comment