Monday 18 August 2014

Program Target A Bahasa Arab SPM 2014


Pada 6 Julai 2014 yang lalu seramai 63 orang pelajar tingkatan 5 dari kelas 5 Al Khawarizmi dan 5 Al Farabi telah menyertai Program Target A Bahasa Arab SPM yang dianjurkan oleh Interactive Learning Solution bertempat di dewan kuliyah kejuruteraan UIAM ,Gombak. Guru pengiring yang terlibat ialah Ustazah Nirmala bt Arusman dan Ustaz Dzailqamar b Hasan selaku guru Bahasa Arab bagi kelas-kelas tersebut. Program tersebut bermula pada jam 9.00 pagi dan penceramah bagi program ini merupakan penceramah yang tidak asing lagi kepada para pelajar iaitu Ustaz Mohd Saudi bin Abdullah. Sesi penerangan bermula dengan mengulangkaji topik-topik nahu sorof diikuti dengan teknik menjawab soalan -soalan kertas 1 & 2. Secara keseluruhan program ini telah mencapai objektifnya iaitu memberi pemahaman secara menyeluruh kepada para peserta disamping kaedah penerangan yang jelas, tepat dan menghiburkan. Program tersebut berakhir pada jam 4.15 petang dan para peserta dibekalkan dengan juadah berbuka puasa. Doa kami guru-guru Bahasa Arab agar para pelajar tingkatan 5 2014 ini akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM 2014 InsyaAllah..

Friday 4 July 2014

Mesyuarat Latihan Pemasangan Item PT3 dan Panduan Penandaan Kertas Bahasa Arab Daerah Hulu Langat 2014

Gambar sekitar bengkel diadakan selama 2 hari di SMK Abd Jalil
Pada 26 - 27 Jun 2014 yang lalu satu bengkel pemasangan item dan panduan penandaan kertas Bahasa Arab PT3 telah diadakan di SMK Abd Jalil. Program ini adalah anjuran Sektor Penilaian dan Peperiksaan Menengah Rendah ,Jabatan Pelajaran Selangor dan PPD Hulu Langat yang bertujuan memberi pendedahan kepada guru-guru tingkatan 3 2014 tentang kaedah pelaksanaan PT3 2014 dan teknik penandaan kertas Bahasa Arab PT3.

Seramai 64 orang peserta mewakili sekolah-sekolah di daerah Hulu Langat telah dijemput bagi program tersebut termasuk wakil-wakil guru sekolah swasta untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh JU/pentaksir kawasan daerah Hulu Langat . Bengkel selama 2 hari dimulakan dengan taklimat pengoperasian & format serta kaedah pemasangan item PT3 diikuti dengan penjaminan kualiti seterusnya latihan penandaan skrip jawapan Bahasa Arab PT3.

Alhamdulillah program ini telah berlangsung dengan jayanya walaupun pada mulanya para JU telah diajukan dengan pelbagai persoalan oleh para peserta tentang kaedah baru ini namun akhirnya telah berjalan dengan lancar ibarat kata faham sefahamnya. Mudahan proses kerja yang bakal dipertanggungjawabkan sehingga November nanti akan berjalan dengan lancar dan menepati piawaian yang telah ditetapkan .

Berikut adalah JU/Pentaksir Kawasan Daerah Hulu Langat bagi kertas Bahasa Arab PT3

Ketua Pentaksir Kawasan : Ustaz Muhammad Husni bin Ramli ( SMK Abd Jalil )

Pentaksir Kawasan : Ustaz Bakru Rozi b Musa ( SMAP Kajang )
Ustaz Mohd Jailani b Abdullah ( SMK BB Ampang )
Ustazah Ruzitah bt Redwan ( SMK Tinggi Kajang )
Ustazah Che Jawariah bt Che Hasan ( SMK Bdr Tasik Kesuma )
Ustazah Hazarina bt Khalid ( SAM Hulu Langat )
Ustazah Bibi  Sabariah bt  Mustaffar ( SMK Khir Johari )

Thursday 12 June 2014

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!!


Jika semua harta adalah racun maka zakat adalah penawarnya ,
Jika seluruh umur adalah dosa maka taqwa dan taubat adalah ubatnya,
Jika seluruh bulan adalah noda maka Ramadhan adalah pemutihnya.

Penuhilah bulan yang penuh barakah ini dengan menggandakan amalan-amalan soleh. Tiada siapa boleh menduga adakah mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat kita. Siiru 'Ala Barakatillah...

MOHON MAAF ZAHIR & BATIN
&
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA

dari kami guru-guru ahli Panitia Bahasa Arab SAM Hulu Langat 2014

Wednesday 30 April 2014

PT3 & Penambahbaikan PBS 2014


Cabaran telah bermula bagi para pelajar tingkatan 3 2014 dan para guru tingkatan 3 apabila baru-baru ini satu taklimat penambaikan PBS dan PT3 yang ditunggu-tunggu sekian lama sekaligus menjadi tanda-tanya warga pelajar dan guru telahpun dibentangkan. Pembentangan oleh GPK1 dan Puan Nurul Akmal sedikit sebanyak menghilangkan kerisauan walaupun maklumat menyeluruh tentang format dan bentuk soalan ujian bertulis masih menjadi tanda-tanya sedangkan bulan Mei semakin tiba!

Lazimnya seperti tahun-tahun terdahulu bulan Mei keatas dianggap sebagai 'bulan memulakan pecutan' bagi guru-guru tingkatan 3 sebagai persediaan menghadapi PMR seperti tahun-tahun sebelumnya. Namun tahun ini sedikit suram dan semangat juga bercampur-baur. Namun mengenangkan anak-anak didik yang dahagakan ilmu sementelahan juga mereka adalah generasi pertama yang bakal menerima transformasi baru dalam dunia pendidikan kini menjadi pembakar semangat guru-guru untuk terus melangkah.




Ujian PT3 yang bakal dilaksanakan

Tiga penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS):

* Dokumen Standard Prestasi (DSP) digantikan dengan Panduan Perkembangan Pembelajaran .Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid hanya berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid.

*   Guru tidak lagi perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) secara online. Sebaliknya, guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran secara offline. Menerusi PBS baru 2014 juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan Tiga akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

*  Guru tidak lagi menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit yang tidak jelas sehingga mengganggu tugas mengajar golongan berkenaan. Di mana perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru selepas ini.

Bagi madah Bahasa Arab , para pelajar akan diuji melalui PBS dan ujian bertulis sahaja. Kertas soalan akan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan dan kertas jawapan pelajar akan ditanda oleh guru-guru sekolah dengan pengawasan pentaksir yang dilantik. Mudah kata keseluruhannya termasuk pengeluaran sijil diakhir ujian sebagai asas pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh dan lain-lain turut tergalas dibawah tanggungjawab sekolah!


Jadual Pelaksanaan

- Pelbagai Instrumen 
Pentadbiran : 1 - 18 Julai
Hantar gred : 15 - 29 Ogos

- Ujian Lisan
Penatdbiran : 6 - 29 Ogos
Hantar Gred : 15 - 29 Ogos

- Ujian Bertulis
Pentadbiran : 12 - 17 Oktober

Hantar Gred : 1 - 14 November 

Kini, dalam keadaan format yang masih kabur dan pelaksanaan PBS yang akan dimulakan semula sehingga akhir tahun para pelajar perlulah membuat persediaan dari sekarang. Persediaan yang dimaksudkan disini ialah persediaan kekuatan mental dan fizikal menghadapi apa jua kemungkinan dan cabaran tempoh yang boleh dikatakan singkat ini. 


Friday 18 April 2014

Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2013


Alhamdulillah keputusan SPM 2013 telah diumumkan dan tidak terlambat rasanya pihak Panitia Bahasa Arab terutamanya para guru Bahasa Arab mengucapkan 'alfu mabruk' kepada semua calon yang telah berjaya mencapai target yang telah dirancang dan bagi yang kurang berjaya usah terlalu bersedih..teruskan perjuangan menuntut ilmu ke peringkat seterusnya. InsyaAllah jalan ke arah kejayaan dan kecemerlangan itu sentiasa ada & terbuka bagi mereka yang terus berusaha, berdoa dan bertawakal.

Keputusan madah Bahasa Arab juga mencapai kecemerlangan dengan pengurangan jumlah calon yang gagal dan peningkatan calon yang mendapat A. Berikut adalah analisa madah Bahasa Arab SPM 2013 :

GPS Sekolah 2012 : 3.45

GPS Sekolah 2013 : 3.52


Jazakumullah Khairul Jaza' kepada barisan guru-guru Bahasa Arab SPM iaitu Ustzh Nirmala Arusman,Ustzh Azarina Karim,Ustzh Siti Munyra AlHaj & Ustaz Dzailqamar Hasan atas usaha dan penat lelah mendidik dan menabur bakti kepada calon-calon SPM SAM Hulu Langat tahun 2013

Saturday 15 March 2014

Minggu Bahasa ( BM,BI & BA ) 2014

Kolaborasi tiga panitia iaitu panitia Bahasa Melayu , Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab SAM Hulu Langat telah menganjurkan satu lagi aktiviti takwim tahunan panitia iaitu Minggu Bahasa yang telah diadakan pada 24 Februari sehingga 4 Mac 2014 dengan kerjasama persatuan masing-masing. Program ini telah dirasmikan dengan acara memotong kek oleh Tuan Pengetua, GPK Pentadbiran dan GPK Kokurikulum. Objektif minggu bahasa ini diadakan adalah untuk menarik minat para pelajar untuk memartabatkan Bahasa Melayu, mempertingkat Bahasa Inggeris dan memperkasa Bahasa Arab. Bagi panitia Bahasa Arab pula, pelbagai aktiviti telah dijalankan pada 26 & 27 Februari 2014 ( Rabu dan Khamis ) antara acara yang dipertandingkan ialah kuiz ala MISS, hiwar, bercerita, karikatur Arab,kaligrafi khat dan multimedia. Pada 10 Februari 2014 berikutnya, majlis penutupan minggu bahasa telah dijalankan dengan penyampaian hadiah bagi peserta yang memenangi acara yang telah dipertandingkan. Alfu mabruk lakum !!

Thursday 13 March 2014

Bengkel Kemahiran Debat Bahasa Arab


Pada 8 & 9 Mac 2014 yang lalu, Panitia Bahasa Arab telah menganjurkan satu bengkel kemahiran debat Bahasa Arab di bawah kelolaan Ustazah Nur Aisah bt Kasman. Pihak panitia telah berbesar hati menjemput jurulatih jemputan iaitu Saudari Rabiatul Adawiyah pelajar UIA bagi membuat pengisian bengkel tersebut. Objektif bengkel ini diadakan bertujuan memberi pendedahan tentang teknik yang betul dalam acara perdebatan dan mengasah kemahiran bertutur dengan lancar dan fasih dalam Bahasa Arab sebagai salah satu bentuk persediaan bagi penyertaan para pendebat Bahasa Arab SAM Hulu Langat yang bakal mewakili sekolah bagi acara KAMIL dan pertandingan-pertandingan yang bakal disertai kelak. Bengkel ini juga turut disertai oleh para pelapis pendebat Bahasa Arab SAM Hulu Langat sebagai pendedahan awal buat mereka. Semoga usaha ini bakal membuahkan hasil dan telah dapat dimanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kepada para pelajar.